5 Jenama Fesyen Lokal Pilihan Generasi Baru - Glam Malaysia

5 Jenama Fesyen Lokal Pilihan Generasi Baru

Industri fesyen Malaysia terus berkembang dengan kemunculan jenama-jenama baharu yang membawa identiti tersendiri serta sentuhan moden dalam rekaan mereka. Daripada fesyen kasual hingga ke pakaian tradisional dengan elemen kontemporari, jenama-jenama ini semakin mendapat tempat di hati peminat fesyen tanah air.

GLAM telah menyenaraikan beberapa jenama fesyen lokal yang sedang meningkat naik dan wajar diberi perhatian:

#1 SHALS.KL

Diasaskan oleh selebriti dan usahawan Shalma Ainaa, SHALS KL menawarkan pakaian kasual dengan sentuhan moden dan minimalis. Rekaan jenama ini menekankan keselesaan tanpa mengabaikan elemen fesyen, menjadikannya pilihan utama bagi golongan muda yang ingin tampil bergaya tanpa terlalu menonjol.

Selain pakaian, SHALS KL turut mengembangkan koleksi mereka ke aksesori dan kasut, menampilkan reka bentuk yang versatil dan sesuai untuk pelbagai acara.

#2 FUZA by Fuzana Mokhtaza

FUZA ialah jenama oleh pereka fesyen berbakat, Fuzana Mokhtaza, yang membuat debutnya di KL Fashion Week 2024 (KLFW 2024) dengan koleksi Ready-To-Wear (RTW). Rekaannya menggabungkan kesopanan dan keanggunan, menjadikannya jenama pilihan bagi wanita yang ingin tampil elegan tetapi tetap selesa.

Dengan reka bentuk yang sofistikated dan sesuai untuk pelbagai acara, FUZA semakin dikenali dalam kalangan peminat fesyen tempatan.

#3 MSYD

Jenama MSYD diasaskan oleh Masyadi Mansoor, seorang pereka muda berbakat yang namanya semakin dikenali dalam kalangan penggemar fesyen generasi kini. Pada KLFW 2024, MSYD menampilkan koleksi ‘Sophomore’ yang menerima pujian kerana keberaniannya dalam bermain dengan warna, tekstur, fabrik, dan corak yang unik.

Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini semakin mendapat tempat dalam industri fesyen tempatan kerana keberaniannya dalam bereksperimen dengan siluet moden tetapi tetap mengekalkan elemen estetik yang sofistikated.

#4 Raja Irfan

Pereka fesyen muda Raja Irfan semakin mendapat perhatian dalam industri fesyen tempatan. Dikenali dengan rekaan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, beliau menghasilkan pakaian yang unik dan eksklusif, sesuai untuk mereka yang ingin tampil elegan tetapi tetap menonjol.

Karya-karyanya sudah mula digayakan oleh beberapa selebriti tempatan seperti Elly Mazlein, Nadia Brian dan kumpulan wanita Malaysia, DOLLA. Ini membuktikan potensinya untuk menjadi nama besar dalam industri fesyen Malaysia.

#5 SAOI.MY

SAOI.MY ialah jenama kasut tempatan dan beg tangan yang semakin mencuri perhatian dengan rekaan yang minimalis, elegan dan versatil. SAOI.MY dikenali dengan pendekatan timeless design dan kualiti buatan yang tinggi. Jenama ini menjadi pilihan wanita moden yang mahukan kasut dan aksesori bergaya tanpa mengorbankan keselesaan.

Setiap koleksi menampilkan siluet yang kemas dan feminin yang sangat sesuai untuk gaya harian, kerja mahupun acara istimewa. Dengan fokus kepada rekaan ringkas tetapi sofistikated, SAOI.MY berjaya membina identitinya sebagai jenama kasut lokal yang chic dan relevan.

Pereka-pereka fesyen muda membuktikan bahawa industri fesyen Malaysia dipenuhi dengan bakat baharu yang berani membawa pembaharuan dan identiti tersendiri. Jenama fesyen lokal ini berjaya menggabungkan elemen budaya, inovasi moden dan kreativiti tinggi dalam setiap rekaan mereka. Hasilnya, mereka bukan sahaja digemari di Malaysia, malah semakin menyerlah di peringkat antarabangsa. Sebagai peminat fesyen, kita boleh menyokong jenama tempatan dengan membeli dan menggayakan rekaan mereka. Dengan ini secara langsung, kita dapat membantu industri fesyen Malaysia berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: GLAM Lebaran 2025: Trend Paling Popular Tahun Ini