The Roaring Hearts: Christinna Kuan, Glenn Yong & Johanis Sani – Page 2 – Glam Malaysia

The Roaring Hearts: Christinna Kuan, Glenn Yong & Johanis Sani

GLENN YONG

NEXT GEN 2023

Glenn Yong berbaju dan rantai Coach

Bintang yang mempunyai pelbagai bakat ini turut mencabangkan kerjaya seninya dengan menjadi rapper. Bulan Jun 2022 yang lalu, Glenn memperdengarkan single Inggeris pertamanya berjudul ‘Up Up’. Mendengarkan rentak lagu yang energetik, liriknya diolah tentang pengalaman dalam industri hiburan sejak menyertainya pada tahun 2019. Glenn juga menyifatkan dirinya sebagai aktivis, berharap dapat menggalakkan dan memperkasakan para peminatnya untuk terus bergerak “naik” sekali pun dilanda onak dan liku cabaran. “Yang mana satu untuk didahulukan? Ia sangat bergantung pada fasa atau musim kehidupan saya. Ini kerana saat saya memasuki set penggambaran untuk berlakon, buat menghayati karakter, saya tidak punya pilihan untuk menjadi orang lain dengan memasuki dunia karakter tersebut. Tetapi bila merencanakan muzik, ia seolah memberi saya peluang untuk meneroka apa yang terbuku di sudut hati. Demikian, saya memegang janji pada diri untuk meluahkan isi hati.”

“Jadinya, bila diri bergelumang dengan episod hitam, waktu itulah saya bakal mengutamakan muzik. Hanya untuk mendalami spektrum diri dan  mencari kembali identiti yang lesap terhenti. Walau bagaimanapun, setelah diri kembali stabil, sudah tiba masanya untuk meneroka watak lain dan dunia lain menerusi dunia lakonan. Jadi ia sangat bergantung pada fasa kehidupan dan saya tidak boleh memilih untuk meletakkan fokus secara terburu-buru dalam satu-satu masa; sekalipun dari segi kerjaya orang ramai mengenali diri menerusi dunia lakonan terlebih dahulu. Dan hanya tampil memperdengarkan lagu hanya dua tahun kemudian,” terang pemuda yang menekuni jurusan perniagaan ini.