Debut Sekuntum Oleh Sharifah Rose Buat Semua
Berilhamkan keyakinan bahawa perjalanan hidup bisa berkembang mekar tanpa batasan, Sharifah Rose tampil dengan jenama tudung sulungnya, SEKUNTUM.
Sempena Bulan Hijab Sedunia Februari baru-baru ini, 22 Februari 2020, pelakon dan model terkenal, Sharifah Rose, telah melancarkan koleksi tudung di bawah label fesyennya, SEKUNTUM. Sebagai nama baru di dalam ruang pasaran bernilai $277 Billion ini, SEKUNTUM menanam matlamat untuk memberi fokus buat generasi muda untuk mengutamakan self-love dan self-growth. Ianya bak peringatan bahawa setiap insan itu bisa berkembang mekar secara tersendiri, kerana hala tuju dan perjalanan hidup masing-masing adalah berbeza dan tersendiri.
Menerusi koleksi pertamanya, ‘Upstairs Farmers Market’, Sharifah menggamit semula memori zaman kanak-kanaknya ketika di pasar tani. Ibu dan nenek bergesa untuk membeli hasil tanian segar, kehangatan manja mentari pagi menyinari kulit dan haruman semerbak dari lambakan bunga-bungaan yang mengisi ruang udara. Kenangan ini diabadikan dalam rekaan pada tudung menerusi pemilihan warna dan hiasan motif hijau pekat dan merah jambu debu, menghembuskan aura kesegaran sayuran dan bunga-bungaan.