The New Starlets

The New Starlets

Empat bakat muda Alvy Joanna, Fazziq Muqris, Khayrisyah Kemal, dan Sabrina Azhar menempuh perjalanan penuh liku dalam dunia kreatif. Masing-masing membawa kisah perjuangan, cabaran, dan impian yang akhirnya membentuk mereka menjadi bintang baharu yang makin bersinar hari ini.

pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif + penata gaya CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar MICKY WONG solekan KF BONG dandanan CKAY LIOW & YUSOF RUZAIMI penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA pelatih amali AESYA SOFILEA busana & aksesori COACH

Starlet: Alvy Joanna

Alvy Joanna merasakan bahawa kehidupannya penuh dengan liku-liku yang tidak diduga. Sejak usia remaja, dia sering keliru tentang hala tuju kehidupannya. Pada awalnya, dia melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, namun gagal. Tidak berputus asa, dia beralih ke bidang Komunikasi Massa dan kemudiannya ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pemasaran. Namun, dia tidak gembira berada di sana pada masa itu. Merasakan Amerika bukan tempat yang sesuai buatnya, dia pulang ke Malaysia dan sejurus itu, pandemik COVID-19 melanda dunia. Dalam keadaan serba terbatas, Alvy mula meneroka dunia media sosial, bukan kerana minat, tetapi kerana itu satu-satunya peluang yang ada ketika itu. Dia mengasah bakatnya dalam mencipta kandungan, tetapi hatinya tidak pernah benar-benar terpaut. Dia sedar, apa yang benar-benar diinginkannya adalah menghasilkan cerita dan membina karakter yang mampu menghidupkan sesuatu karya. Momen epifani itu hadir apabila dia menceburi bidang lakonan. Walaupun bahasa Melayu bukan bahasa pertamanya, dia nekad mencuba, meskipun pada awalnya sering ditolak kerana kurang keyakinan dalam penguasaan bahasa tersebut. Namun, dengan keberanian dan keazaman, dia mula jatuh cinta pada dunia lakonan.

Perjalanan seni Alvy tidak berhenti di situ. Selain lakonan, dia menyimpan impian besar untuk memenuhi cita-cita zaman kecilnya iaitu menjadi seorang penghibur serba boleh. Sejak kecil, dia sudah terdedah kepada muzik dan tarian, malah belajar teori muzik sejak usia lima tahun. Dia tahu jika dia tidak mencuba, dia mungkin akan menyesal di kemudian hari. Oleh itu, dia memulakan perjalanan dalam bidang muzik, meskipun dihantui keraguan dan ketakutan tentang penerimaan khalayak. Lagu pertamanya, “Terpikat”, mengambil masa setahun untuk dilancarkan kerana dia begitu teliti dalam memastikan hasil karyanya benar-benar memuaskan hatinya. Alvy juga mahu membawa elemen budaya asalnya ke dalam muziknya, menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris seperti mana yang dilakukan oleh artis-artis antarabangsa seperti Milli dari Thailand. Dia berhasrat untuk membawa budaya tempat asalnya, Sarawak dan Malaysia ke pentas dunia, memperkenalkan keunikan warisan dan identitinya kepada khalayak yang lebih luas. Keinginannya bukan sekadar untuk berkarya, tetapi juga untuk memastikan budaya dan bahasa kaum Bidayuh dan Bisaya tidak luput ditelan zaman.

Walaupun perjalanan seni Alvy penuh dengan cabaran, musuh terbesarnya adalah dirinya sendiri. Perasaan ragu-ragu sering menghantui fikirannya di mana dia merasakan adakah dia benar-benar layak?

Starlet: Fazziq Muqris

Fazziq Muqris tidak pernah menyangka bahawa kehidupannya akan membawa dia ke dunia hiburan. Sejak kecil, impiannya sering berubah-ubah. Pada suatu masa, dia bercita-cita menjadi seorang doktor, kemudian seorang juruterbang, namun setelah keputusan peperiksaannya tidak memenuhi syarat, dia mula mempertimbangkan bidang perniagaan. Dalam tempoh menunggu keputusan SPM, Fazziq mengambil peluang untuk bekerja sebagai barista di sebuah kafe. Tidak dia sangka, pekerjaan itu menjadi titik tolak yang mengubah hala tuju hidupnya. Melalui interaksi dengan pelanggan, dia mengasah kemahiran komunikasi dan membina rangkaian. Peluang demi peluang mula datang apabila pelanggan yang bekerja dalam industri hiburan melihat potensinya dan menawarkannya peluang untuk terlibat dalam pengiklanan televisyen. Dari situ, Fazziq mula memberanikan diri untuk mencuba uji bakat dalam industri seni, sekaligus mempelajari selok-belok dunia hiburan yang semakin menarik minatnya.

Langkah kecil dalam dunia komersial akhirnya membuka jalan buat Fazziq ke dalam dunia penyiaran. Pada tahun 2017, dia mencuba nasib dalam uji bakat untuk menjadi hos di Astro dan berjaya mara ke tiga teratas daripada 50 peserta. Setahun selepas itu, seorang individu yang bekerja di Astro secara tidak sengaja bertemu semula dengannya di kafe tempatnya bekerja. Beberapa minggu kemudian, Fazziq menerima panggilan untuk menjadi hos digital bagi rancangan Gegar Vaganza musim kelima. Tanpa memiliki kenderaan sendiri, dia sanggup menggunakan pengangkutan awam demi mengejar impian. Kejayaan ini mendorongnya untuk mendalami bidang penyiaran dengan mengambil diploma dalam Komunikasi Massa di KDU University College (kini UOW Malaysia). Tidak terhenti di situ, Fazziq terus mengembangkan bakatnya dengan menyertai pertandingan Hero Remaja 2021, di mana dia meraih tempat ketiga. Sejak itu, pintu industri hiburan terbuka luas, membawanya ke bidang lakonan dalam drama bersiri seperti High Council dan sebagai penyampai radio di ERA FM. Bagi Fazziq, setiap langkah yang diambilnya, walaupun kecil, adalah satu batu loncatan ke arah kejayaan yang lebih besar. Namun, perjalanan Fazziq bukanlah tanpa cabaran. Salah satu pengalaman paling sukar dalam kerjayanya adalah ketika dia menjadi hos utama bagi Dewi Remaja 2023. Isu teknikal dan komunikasi menyebabkan banyak komen negatif dilemparkan terhadapnya. Rakan-rakannya malah menasihatinya untuk tidak membaca komen-komen tersebut. “Saya ambil masa tiga bulan untuk berehat dan mencari kembali keyakinan diri. Saya tidak mahu terperangkap dalam kesedihan, sebaliknya saya mahu bangkit dan menjadi lebih baik,” kata jejaka yang berdarah kacukan Inggeris ini…

Starlet: Khayrisyah Kemal

Sejak kecil, Khayrisyah Kemal tidak pernah membayangkan dirinya akan terlibat dalam dunia lakonan. Semuanya bermula secara suka-suka, hanya kerana ibunya berkata bahawa dia boleh mendapat duit daripada berlakon. Pada usia yang muda, dia melihatnya sebagai ‘duit raya’ yang datang lebih awal. Namun, tanpa disangka, pengalaman awal itu membawanya ke set penggambaran bersama pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy dan Emelda Rosemila. Saat melihat mereka berlakon, semangatnya untuk memahami seni persembahan semakin membara. Tetapi yang benar-benar mendorongnya untuk terus maju adalah abang keduanya, yang walaupun bukan seorang pelakon, sentiasa memberikan kata-kata semangat dan dorongan. “Abang saya selalu kata, kalau nak jadi lebih baik, kena belajar dan perbaiki diri sendiri setiap masa.” Dengan sokongan tujuh orang adik-beradiknya serta semangat ayah dan datuknya yang juga merupakan pengarah, Khayrisyah mula menanam impian untuk menjadi lebih baik dalam setiap watak yang dibawanya.

Namun, perjalanan menuju kejayaan tidak selamanya mudah. Apabila memasuki usia remaja, peluang lakonannya semakin berkurangan kerana dia berada dalam fasa yang sukar dimana dia bukan lagi kanak-kanak, tetapi belum cukup dewasa untuk memegang watak yang matang. Ketika itulah dia mula meneroka dunia media sosial, bermula dengan sekadar mencuba “paid review” setelah ditanya oleh rakan-rakannya. Tanpa disangka, bidang ini membuka peluang baru, di mana dia bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi juga membina jenama sendiri sebagai seorang pempengaruh. Walaupun begitu, dunia lakonan tetap berada dihatinya. Setelah beberapa tahun mengembangkan pengaruhnya dalam media sosial, dia kembali ke set penggambaran apabila berusia 18 tahun. Industri akhirnya menerima dirinya sebagai seorang pelakon yang boleh membawa watak-watak lebih kompleks. Dalam dunia lakonan, Khayrisyah tertarik kepada watak-watak mencabar. Salah satu watak yang paling diingatinya ialah watak cacat dalam sebuah telefilem ketika kecil. Baru-baru ini, dia melakonkan watak seorang pesakit skizofrenia dalam siri “Nafsu”. Namun, dia masih belum berpuas hati dengan hasilnya dan berharap dapat melakukannya dengan lebih baik jika diberi peluang sekali lagi. Dia gemar akan watak yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap emosi dan psikologi, sesuatu yang tidak hanya ditunjukkan tetapi dapat dirasai oleh penonton.

Khayrisyah juga telah melalui cabaran besar yang menguji ketahanannya. “Saya pernah terperangkap dalam produksi yang toksik selama 93 hari tapi saya survived!,” kongsinya…

Starlet: Sabrina Azhar

Pada tahun 2020, ketika dunia dilanda pandemik, seorang gadis muda yang melanjutkan pelajaran di Korea dan baru putus cinta mendapati dirinya berada dalam dilema. Rasa bosan menyelubungi hari-harinya, namun daripada membiarkan dirinya tenggelam dalam kesedihan, dia memilih untuk bangkit dan mencipta sesuatu yang baru. Dia mula berkongsi kehidupannya di Korea di media sosial TikTok, dan kemudian ke platform lain seperti YouTube dan Instagram. Ketika itu, K-pop masih dianggap asing di Malaysia, tetapi dia berani mengekspresikan minatnya, menjadi antara individu pertama yang terbuka mengenainya. Keunikan dan keberaniannya menarik perhatian ramai, membuka peluang untuknya dalam industri yang lebih besar. Kejayaan awal ini membawanya ke peringkat seterusnya apabila dia direkrut oleh sebuah agensi di Korea. Pada mulanya, dia tidak pernah membayangkan bahawa penciptaan kandungan boleh menjadi satu kerjaya sebenar, namun semakin mendalami bidang ini, semakin jelas bahawa inilah jalannya. Namun, memilih jalan yang berbeza bukanlah mudah. Minatnya terhadap kejuruteraan semakin pudar, tetapi dia tetap menamatkan pengajiannya dengan baik demi menghormati biasiswa yang diterimanya. Sejak tamat pengajian pada 2023, dia mendedikasikan dirinya sepenuhnya kepada dunia pencipta kandungan, memperluaskan bidang kerjayanya ke lakonan. Memilih jalan yang berbeza bukanlah mudah namun Sabrina tahu bahawa dunia korporat dan bekerja di pejabat dari jam 9 pagi hingga 5 petang bukan untuknya. Dia lebih tertarik kepada kebebasan berkarya dan meneroka pengalaman baru.

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya adalah persepsi masyarakat terhadap keupayaannya. Dia seorang yang bercita-cita besar dan sentiasa menetapkan standard tinggi untuk dirinya sendiri. Keunikan dirinya sebagai wanita berhijab yang fasih dalam tiga bahasa menjadikannya individu yang sukar dicari ganti. “Jika mereka mahukan saya, mereka dapat saya dalam satu pakej yang lengkap. Saya bukan sekadar pilihan,” kata Sabrina. Dirinya semakin menyerlah apabila dia menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah web drama Korea, menjadikannya hijabi pertama dari Malaysia yang berjaya menembusi industri tersebut. Walaupun telah menetap di Korea selama tujuh tahun, komitmen kerja mula membawanya lebih kerap pulang ke Malaysia. Berkongsi berita gembira dan GLAM menjadi orang pertama yang diberitahu, pengalaman berlakon ini memberinya keyakinan bahawa dia mampu melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan, dimana Sabrina kini bersiap sedia untuk ke Los Angeles bagi menghadiri program lakonan berprestij di Stella Adler Studio of Acting pada bulan Jun nanti…

Baca kisah penuh Alvy Joanna, Fazziq Muqris, Khayrisyah Kemal dan Sabrina Azhar dengan mendapatkan majalah GLAM isu April 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.