Kediaman – Fusion ‘Cinta’ Moden
Elemen unik dan kreatif
Dibina di atas tanah berkeluasan 7936 kaki persegi, kediaman ini memiliki tiga aras berbeza. Justeru untuk memastikan terdapat perbezaan gaya, setiap aras mempunyai kemasan lantai berlainan, hijau India di tingkat bawah, Rosa Levanto pada tingkat satu dan lantai simen di tingkat dua. Sejurus memasuki kediaman ini anda pasti dapat melihat bahawa pagar utama kediaman dan pagar sisi direka berinspirasikan gaya Art Deco dengan garisan rumit simetri untuk memecahkan gaya konkrit dinding sekeliling. Ia tampak sepadan dengan panel tembaga yang menghadap kolam ikan koi dan selusur lounge yang dirujuk kepada sesuatu yang khusus; yakni babak sebuah opera tahun 70-an yang berlatarkan kota Shanghai yang digemari mereka. Elemen ini dilitupi rona tembaga untuk mencipta kontras pada kemasan raw dan hitam sekitarnya.