Kediaman – Kembara Seni Moden
Seleksi Hiasan & Warna
Menariknya kediaman ni, setiap ruang berbeza bermain warna terang yang menampilkan kontras antara satu dengan yang lain. Jika di ruang tamu dia memilih penggunaan warna biru terang, ruang bersebelahan yakni dapur kering bersama kaunter sarapan turut berfungsi sebagai kabinet berpulau diserlahkan penggunaan panel gelas merah yang dirasakan bertindak sebagai elemen dramatik untuk ruang umum di kediaman ini. Rona ini dipanjangkan ke dapur basah yang menjadi ruang penting buat Rezal kerana dia gemar memasak sendiri juadah tatkala menerima kunjungan sahabat dan tetamu lain. Tiga warna lain yang menjadi pilihannya adalah kuning biji sawi di ruang peribadi, merah delima untuk kamar beradu utama selain jingga terang di kamar tetamu. Tidak hanya pada dinding, kemasan lain juga turut bermain elemen warna untuk menceriakan keadaan. Antaranya adalah pemilihan permaidani yang ditempah khas untuk melengkapi ruang tamu.