Kediaman – Mahligai Zizimimi & Co
PERANCANGAN TELITI
Mendedikasikan aras bawah kediaman sebagai ruang sosial paling aktif, pemilik banyak melakukan kajian dan rujukan idea agar dapat membuat pilihan tepat mengikut gaya hidup seisi penghuni. “Saya sangat teliti mengenai setiap perancangan dan reka bentuk yang dilakukan di kediaman ini. Open concept tidak mudah kerana setiap pilihan yang dibuat terpamer jelas tanpa boleh disembunyikan seperti perletakkan soket elektrik, laluan paip air dan wiring contohnya. Semua ini memerlukan pengetahuan jelas dan kerjasama kontraktor untuk merealisasikannya,” beritahu Mimi panjang lebar.
Kebimbangan orang kita apabila membina kediaman berkonsep lapang terbuka adalah kedudukan dapur terbuka dan pengaliran udara yang optimum. Ini kerana bau masakan orang kita agak kuat dengan kaedah tumisan dan menggoreng pasti membuatkan aroma masakan melekat dan bertebaran di sekitar kediaman. Mimi bertindak memasang hud dapur dengan daya sedutan kuat diikuti sistem pengudaraan berkapasiti industrial yang dipasang melekap pada permukaan siling. “Saya gembira dengan setiap percaturan yang dibuat kerana, setakat ini udara di kediaman kami tidak terganggu dek bauan masakan tidak enak dan kemasan lembut seperti langsir dan sofa tidak terjejas,” kata Mimi.