Kediaman – Ritma Klasik Moden
AURA ALAMI MENCETUS GAYA
Mainan dekorasi diekspresikan berlebihan namun terkawal, penataan ruang menawarkan kemewahan yang nyata tanpa terkesan rasa berat dan sarat. Interaksi ruang yang dibiar lepas bebas dalam konsep terbuka dirancang teliti tanpa mengabaikan trafik dan keselamatan penghuninya. Tambahan pula pelan reka bentuk lantai bertingkat (split level) pada setiap ruang berjaya dimanipulasi dengan bijak, mengelakkan meninggalkan kesan ruang padat dan terhad.
Ruang tamu utama tampil dengan percikan rona bumi adunan perabot rekaan khas. Set sofa 1+1+3 dengan perincian kusyen pelbagai paten dan warna memercikkan mood ceria dibias aura alami. Meja kopi juga rekaan khas turut menghuni ruang. Perletakan permaidani jenis Persian mencetuskan mood eksklusif mewah sesuai cita rasa pemiliknya. Biasan mewah marmar putih mencipta impak ruang lebih luas dan lapang. Bagi menyuntik keseimbangan dan ruang tampil harmoni, pereka tidak lupa menempatkan tumbuhan hijau selain berfungsi sebagai indoor plant yang mudah diselenggara.